Sunday, September 13, 2009

Umat Islam dituntut menjaga kebersihan (dr sahabat)

link asal:http://www.geocities.com/zek_my/news2/ut501.html

Umat Islam dituntut menjaga kebersihan


KEBERSIHAN adalah sebahagian keperluan dalam mengendalikan kehidupan dan dituntut oleh Islam untuk diamalkan secara berkekalan oleh umatnya. Malah lebih penting daripada itu, kebersihan mempunyai hubungan rapat dengan iman dan penyebab Allah kasih. Apabila Allah kasih, mudah saja diberikan-Nya taufik dan bimbingan ke arah jalan kebaikan dan keselamatan.

Firman Allah bermaksud: “...Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya.”(Surah al-Baqarah, ayat 222).

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Kebersihan adalah separuh daripada iman”. (Riwayat Muslim).

Berdasarkan keterangan di atas dapatlah difahami bahawa kesempurnaan seseorang mukmin selepas beriman ialah menjaga kebersihan, sama ada dirinya dan perkara berhubungan dirinya seperti rumah tangga, halaman rumah, kenderaan dan tempat kerja.

Orang menjaga kebersihan sewajarnya mendapat perhatian Allah dan diberi rahmat selayaknya.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Ia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.” (Riwayat Al Bazzar).

Justeru adalah amat wajar kita menjaga kebersihan diri, termasuk dikenakan wangi-wangian supaya tidak berbau busuk. Begitu juga menjaga kebersihan dalam rumah, dalam bilik air, luar dan di pekarangan rumah. Kebersihan sebenarnya adalah lambang peribadi seseorang.

Jika diri, rumah atau perkara yang ada hubungan dengan seseorang itu kelihatan tidak bersih, comot, busuk dan tidak teratur, ia secara tidak langsung menandakan diri dan jiwanya juga tidak bersih, comot dan tidak teratur. Dengan kata lain, tidak berakhlak atau berdisiplin.

Pada pandangan Islam, menjaga kebersihan, setidak-tidaknya akan membabitkan menjaga kebersihan diri, pakaian, tubuh badan, dalam dan luar rumah.

Apa yang dikatakan menjaga kebersihan diri ialah seperti bersih daripada hadas besar. Ini kerana ada keterangan bahawa Allah mengutuk orang yang tidak mandi hadas besar.

Orang yang tidak membersihkan dirinya selepas berjunub (berhadas besar), pada akhirat nanti Allah akan dipakaikan padanya dengan pakaian api neraka.

Imam Al Ghazali menceritakan suatu kisah: “Ada seorang bermimpi bertemu seorang yang sudah mati. Ketika hidupnya dia pernah tidak mandi hadas.

“Ketika ditanya kepadanya: “Bagaimana hal keadaan mu sekarang?” Jawab orang itu: “Aku kini diseksa dengan diberi pakai dengan pakaian daripada api neraka, kerana ketika hidup dulu aku pernah tidak mandi hadas.”

Dalam suatu kisah lain, diriwayatkan oleh Aban bin Abdullah Al Bajali, katanya: “Ketika jiran saya mati, kami semua menguruskan mayatnya hingga ke kubur. Ketika dimasukkan ke dalam lubang kubur, tiba-tiba datang seekor binatang sebesar kucing. Apabila dihalau, tidak juga binatang itu mahu lari. Sehingga terpaksa dipindah ke kubur lain. Selepas dimasukkan, binatang seperti itu juga ada.

“Selepas dihalau dan dipukul tidak juga dia lari, maka kami membuat keputusan terus mengambus mayatnya. Selepas selesai menimbus, kami dengar suara seperti tulang-tulang si mayat itu dipatahkan-patahkan oleh binatang itu.

“Kami pun pergi bertanya kepada isteri si mati itu mengenai keadaannya ketika hidup. Jawab isterinya: Kebiasaannya, ia jarang mandi hadas besar.”

Dalam suatu riwayat lain disebutkan juga bahawa malaikat lari daripada orang yang tidak mandi hadas besar. Daripada Ibnu Abbas, katanya: “Sesungguhnya malaikat tidak menghampiri orang yang tidak mandi hadas besar... sehingga dia mandi”. (Riwayat At Tabrani).

Berpakaian bersih menjadi tuntutan Islam. Orang Islam perlu kelihatan indah dan menarik pada pandangan orang lain, sama ada zahir (pakaiannya) dan akhlaknya. Ketika hendak berhadapan sesama sahabat atau bertemu masyarakat, tidaklah wajar seseorang Muslim itu berpakaian dalam keadaan comot, tidak kemas dan berbau busuk.

Nabi Muhammad saw amat mengambil berat soal kebersihan berpakaian, sehingga baginda dilihat menjadi seorang sentiasa kemas dan bergaya. Sahabat Ibnu Hanzaliah berkata, bahawa Nabi saw pernah bersabda kepada sahabat dalam perjalanan bertemu saudara mereka. Sabdanya bermaksud:

“Sesungguhnya kamu akan datang (menemui) saudara kamu, oleh itu perbaikilah ar rihal (alat kelengkapan kenderaan yang diguna ketika menunggang kuda) dan baguslah semua pakaian kamu sehingga kamu kelihatan menarik, hebat dan berhemah di kalangan manusia.

“Ini kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada busuk dan sangat buruk.” (Riwayat Abu Daud dan Al Hakim).

Begitulah antara pesanan Rasulullah saw kepada orang yang hendak berhadapan dengan masyarakat supaya berpakaian menarik dan berbau wangi, supaya menyenang hati dan menyedapkan mata memandang.

Pakaian dan badan boleh berbau busuk sama ada kerana tidak berbasuh atau tidak mandi. Justeru, Islam menganjurkan supaya sentiasa mandi pada waktu tertentu, mengenakan bauan sesuai, di samping membersih pakaian. Maka Allah memerintahkan Nabi saw membersihkan pakaiannya.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang berselimut, bangun dan berilah peringatan. Dan Tuhanmu hendak kamu agungkan. Dan pakaian kamu hendaklah kamu bersihkan...”(Surah al-Mudassir, ayat 1-4).

Sebuah hadis daripada Jabar, katanya, bahawa Nabi saw pernah datang kepada tujuan berziarah. Tiba-tiba baginda saw ternampak seorang lelaki berpakaian kotor, lalu baginda saw bersabda: “Tidakkah orang itu mempunyai sesuatu untuk membasuh pakaiannya yang kotor itu?” (Riwayat Ahmad dan An Nasa’ie).

Firman Allah bermaksud: “Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah, setiap kali kamu hendak ke masjid...” (Surah al-A’raaf, ayat 31).

Dalam ayat di atas, Allah menyeru supaya memakai pakaian indah dan cantik ketika ke masjid. Sebabnya ketika ke masjid kita akan bertemu dan berhadapan dengan masyarakat, tentu sekali dalam keadaan menarik, bukan menjijikkan.

Di samping berpakaian cantik dan bersih, baginda saw menganjurkan mengenakan bau-bauan wangi. Ini kerana Rasulullah saw seorang yang amat mementingkan bau-bauan.

Annas bin Malik berkata: “Aku tidak pernah tercium bau yang amat harum semerbak bak kasturi, bahkan tidak ada yang harum lebih daripada itu, kecuali bau Rasulullah saw.” (Riwayat Muslim).

Badan kita boleh berbau busuk kalau tidak mandi. Oleh sebab itu, mandi (selain mandi hadas besar) menjadi hak badan kita. Siapa yang tidak mandi seminggu bererti tidak memenuhi hak tubuh badannya. Islam meletakkan sunat mandi pada setiap kali hendak bersolat lima waktu.

Lebih jauh daripada itu, kita dituntut untuk menjaga kebersihan dalam dan luar rumah.

Di samping menjadi sesuatu yang dituntut oleh Islam, kebersihan mencerminkan perwatakan individu itu sendiri. Adakah individu itu sendiri, adakah dia seorang yang amat prihatin dalam soal kebersihan atau sebaliknya.

Menjaga kebersihan dalam rumah, misalnya, sepatutnya sentiasa bersih daripada sampah sarap atau sawang-sawang sama ada di bilik tidur, dapur, bilik tetamu, bilik air, tingkap, pintu, langsir atau siling.

Bilik tidur adalah bilik utama. Ia lambang kebahagiaan dan kasih sayang suami isteri. Jika bilik tidur tidak kemas, bersepah dengan bantal, cadar dan kain selimut tidak berlipat, berlonggok sana-sini, sampah-sarap tidak disapu, maka melambangkan peribadi dan hubungan hati di antara suami isteri sudah tidak ada kasih sayang dan kebahagiaan.

Ruang dapur bukan saja perlu sentiasa bersih, malah disusun kemas, supaya tidak mudah mengundang bahaya terutama kepada anak-anak.

Ada kajian menunjukkan bahawa antara tempat yang mudah terdedah kepada bahaya ialah bahagian atau ruang dapur.

Ruang tamu turut menjadi bahagian penting dalam sesebuah rumah. Ini kerana bahagian ruang tamu menjadi pemerhatian pertama dan awal apabila ada tetamu yang datang.

Justeru ruang tamu perlu sentiasa dalam keadaan teratur dan kemas. Ini kerana tetamu yang datang perlu dijaga hati dan perasaan mereka.

Kebersihan luar rumah perlu dijaga kebersihan sewajarnya. Rumput-rampai di halaman dan sekeliling rumah, dinding luar, longkang dan saliran air, semuanya perlu dibersihkan.

Bagi rumah orang Islam, semua yang disebut di atas, perlu dijaga dan dibersihkan. Cuma rumah orang Yahudi yang dibiarkan kotor.

Perkara ini disebutkan dalam hadis. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “...bersihkanlah halaman dan pekarangan rumah kamu daripada kotoran dan sampah- sarap. Janganlah kamu menyerupai rumah orang Yahudi.” (Riwayat At Tirmizi).

Hadis di atas menjelaskan bahawa sifat rumah orang Yahudi kotor dengan sampah- sarap dan najis binatang di hadapan tangga dan di pekarangan rumah mereka.

Oleh itu, apabila kita menyapu dan membuang sampah- sarap jangan dilonggok di hadapan rumah atau dibuang ke luar rumah, tetapi dimasukkan ke dalam tong sampah. Selepas itu dibuang di tempat pembuangan sampah khas. Bukan di merata-rata sehingga mengganggu orang lain.

Jalan masuk ke rumah juga perlu dibersihkan. Islam menggariskan, bahawa membersihkan jalan laluan awam adalah sama pahala dengan orang beribadah solat.

Sebaliknya mengotor dan membiarkan sesuatu yang menunggu di jalanan dikutuk oleh Allah.

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Memukul orang yang lemah ke tempat solat sama pahalanya seperti bersolat. Membuang gangguan, seperti duri dan najis dari jalan adalah sama pahalanya seperti bersolat.” (Riwayat Khuzaimah)

Hadis itu menunjukkan, bahawa amalan membuang dan membersihkan gangguan di jalan seperti sampah-sarap, duri dan kaca dikira ibadah dan nilai pahalanya sama dengan solat.

Sementara membiar atau meletakkan kotoran dan apa juga benda yang mengganggu jalan adalah dikutuk oleh Allah.

Sabda Nabi Muhammad saw bermaksud: “Barang siapa meletakkan benda di jalan yang mengganggu pejalan, maka Allah mengutuknya.” (Riwayat Ar Tabrani).

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi disebut: “Siapa yang mengotori jalan kaum Muslimin: Allah, Malaikat dan semua manusia mengutuknya.”

Dalam sebuah hadis, Nabi saw bersabda: “Seutama-utama iman ialah mengucap syahadah. Serendah-rendahnya ialah membuang gangguan di jalanan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Khatib Al Baghdadi meriwayatkan; “Sesungguhnya Islam itu bersih. Oleh itu, jagalah kebersihan, tidak ada yang masuk syurga melainkan orang yang bersih”.

Sesungguhnya soal kebersihan bukan saja ada hubungan dengan iman, bahkan menentukan kedudukan kita pada akhirat, sama ada dalam syurga atau neraka.

Jika menurut Khatib Al Baghadadi bahawa orang yang hanya masuk ke dalam syurga ialah orang yang menjaga kebersihan, maka tentu yang pengotor akan masuk neraka.

Begitulah gambaran betapa pentingnya menjaga kebersihan menurut apa yang dianjurkan oleh Islam. Hingga menjelaskan kepada kita bahawa menjaga kebersihan menjadi sesuatu yang sangat dituntut oleh Islam.

No comments:

Post a Comment